Showing posts with label Sekadar Renungan. Show all posts
Showing posts with label Sekadar Renungan. Show all posts

Monday, August 1, 2011

Sila Baca...

Suami saya adalah serorang jurutera, saya mencintai sifatnya yang semulajadi dan saya menyukai perasaan hangat yang muncul dihati saya ketika bersandar dibahunya.3 tahun dalam masa perkenalan dan 2 tahun dalam masa pernikahan, saya harus akui, bahawa saya mulai merasa letih…lelah, alasan-alasan saya mencintainya dulu telah berubah menjadi sesuatu yang menjemukan. Saya seorang wanita yang sentimental dan benar-benar sensitif serta berperasaan halus.

Saya merindui saat-saat romantis seperti seorang anak kecil yang sentiasa mengharapkan belaian ayah dan ibunya. Tetapi, semua itu tidak pernah saya perolehi. Suami saya jauh berbeza dari yang saya harapkan. Rasa sensitifnya kurang. Dan ketidakmampuannya dalam menciptakan suasana yang romantis dalam perkahwinan kami telah mematahkan semua harapan saya terhadap cinta yang ideal. Suatu hari, saya beranikan diri untuk mengatakan keputusan saya kepadanya, bahawa saya inginkan penceraian. ”Mengapa?” Dia bertanya dengan nada terkejut.

“Siti letih, Abang tidak pernah cuba memberikan cinta yang saya inginkan.” Dia diam dan termenung sepanjang malam di depan komputernya, nampak seolah-olah sedang mengerjakan sesuatu, padahal tidak.

Kekecewaan saya semakin bertambah, seorang lelaki yang tidak dapat mengekspresikan perasaannya, apalagi yang boleh saya harapkan daripadanya? Dan akhirnya dia bertanya.

“Apa yang Abang boleh lakukan untuk mengubah fikiran Siti?” Saya merenung matanya dalam-dalam dan menjawab dengan perlahan.

“Siti ada SATU soalan, kalau Abang temui jawapannya di dalam hati Siti, Siti akan mengubah fikiran Siti; Seandainya, Siti menyukai sekuntum bunga cantik yang ada di tebing gunung dan kita berdua tahu jika Abang memanjat gunung-gunung itu, Abang akan mati. Apakah yang Abang akan lakukan untuk Siti?”

Dia termenung dan akhirnya berkata, “Abang akan memberikan jawapannya esok.” Hati saya terus gundah mendengar responnya itu.

Keesokan paginya, dia tidak ada di rumah, dan saya menenui selembar kertas dengan coretan tangannya di bawah sebiji gelas yang berisi susu hangat yang bertuliskan. ..

‘Sayangku, Abang tidak akan mengambil bunga itu untukmu, tetapi izinkan Abang untuk menjelaskan alasannya.” Kalimah pertama itu menghancurkan hati saya. Namun, saya masih terus ingin membacanya.

“Siti boleh mengetik di komputer dan selalu mengusik program di dalamnya dan akhirnya menangis di depan monitor, Abang harus memberikan jari-jari Abang supaya boleh membantu Siti untuk memperbaiki program tersebut.”

“Siti selalu lupa membawa kunci rumah ketika Siti keluar, dan Abang harus memberikan kaki Abang supaya boleh menendang pintu, dan membuka pintu untuk Siti ketika pulang.”

“Siti suka jalan-jalan di shopping Kompleks tetapi selalu tersasar dan ada ketikanya sesat di tempat-tempat baru yang Siti kunjungi, Abang harus mencari Siti dari satu lot kedai ke satu lot kedai yang lain mencarimu dan membawa Siti pulang ke rumah.”

“Siti selalu sengal-sengal badan sewaktu ‘teman baik’ Siti datang setiap bulan, dan Abang harus memberikan tangan Abang untuk memicit dan mengurut kaki Siti yang sengal itu.”

“Siti lebih suka duduk di rumah, dan Abang selalu risau Siti akan menjadi ‘pelik’. Dan Abang harus membelikan sesuatu yang dapat menghiburkan Siti di rumah atau meminjamkan lidah Abang untuk menceritakan hal-hal kelakar yang Abang alami.”

“Siti selalu menatap komputer, membaca buku dan itu tidak baik untuk kesihatan mata Siti, Abang harus menjaga mata Abang agar ketika kita tua nanti, abang dapat menolong mengguntingkan kukumu dan memandikanmu. “

“Tangan Abang akan memegang tangan Siti, membimbing menelusuri pantai, menikmati matahari pagi dan pasir yang indah. Menceritakan warna-warna bunga yang bersinar dan indah seperti cantiknya wajahmu.”

“Tetapi sayangku, Abang tidak akan mengambil bunga itu untuk mati. Kerana, Abang tidak sanggup melihat air matamu mengalir menangisi kematian Abang.”

“Sayangku, Abang tahu, ada ramai orang yang boleh mencintaimu lebih daripada Abang mencintai Siti.”

“Untuk itu sayang, jika semua yang telah diberikan oleh tangan, kaki, mata Abang tidak cukup bagi Siti. Abang tidak akan menahan diri Siti mencari tangan, kaki dan mata lain yang dapat membahagiakan Siti.”

Airmata saya jatuh ke atas tulisannya dan membuatkan tintanya menjadi kabur, tetapi saya tetap berusaha untuk terus membacanya lagi.

“Dan sekarang, Siti telah selesai membaca jawapan Abang. Jika Siti puas hati dengan semua jawapan ini, dan tetap inginkan Abang tinggal di rumah ini, tolong bukakan pintu rumah kita, Abang sekarang sedang berdiri di luar sana menunggu jawapan Siti.” “Tetapi, jika Siti tidak puas hati, sayangku…biarkan Abang masuk untuk mengemaskan barang-barang Abang, dan Abang tidak akan menyulitkan hidupmu. Percayalah, bahagia Abang bila Siti bahagia.”

Saya terpegun. Segera mata memandang pintu yang terkatup rapat. Lalu saya segera berlari membukakan pintu dan melihatnya berdiri di depan pintu dengan wajah gusar sambil tangannya memegang susu dan roti kesukaan saya.

Oh! Kini saya tahu, tidak ada orang yang pernah mencintai saya lebih dari dia mencintai saya. Itulah cinta, di saat kita merasa cinta itu telah beransur-ansur hilang dari hati kita kerana kita merasa dia tidak dapat memberikan cinta dalam ‘kewujudan’ yang kita inginkan, maka cinta itu telah hadir dalam ‘kewujudan’ yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini. cuba kita ambil ikhtibar dari cerita ini..:)



Wednesday, November 4, 2009

NASIB BAIK BUKAN BUAH LABU

Pada suatu masa, Abu Nawas telah pergi bersiar-siar. Setelah kepenatan, Abu Nawas pun berehat di bawah sepohon pokok badam dan di hadapannya terdapat sepokok labu yang menjalar serta mempunyai buah yang sungguh besar.

Melihat saiz kedua-dua buah labu dan badam itu, terdetik di hati Abu Nawas: “Maha Suci Allah, Engkau ciptakan buah labu yang begitu besar ini dari pokoknya yang kecil dan menjalar di bumi, dan Engkau jadikan pula buah badam dari batang dan dahannya yang besar!”.

Sedang Abu Nawas memikirkan tentang mengapalah Allah menciptakan pokok-pokok itu sedemikian rupa, tiba-tiba sebiji buah badam jatuh di atas kepalanya. “Aduh!” Abu Nawas menjerit kerana terkejut. Apabila mendapati yang jatuh di atas kepalanya tadi adalah buah badam, anggota badan Abu Nawas terus menggeletar. Abu Nawas menjadi takut.

Lalu Abu Nawas terus berdoa dan bermunajat kepada Allah: “Ya Allah, aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku tidak mahu masuk campur lagi dalam urusan ciptaan Engkau. Sesungguhnya segala kejadian yang Engkau jadikan semuanya itu ada hikmah yang aku tidak mengetahuinya.

“Ya Allah wahai Tuhanku, bermula hari ini, aku tidak akan mempertikaikan akan segala kejadian yang telah Engkau ciptakan. Kalaulah Engkau jadikan buah labu itu di atas pokok yang besar ini dan jikalau buah badam yang jatuh itu adalah labu, maka sudah pasti aku sekarang ini di ambang maut!”

Tuesday, November 3, 2009

Hadiah Dari Tuhan

Musim panas belum berakhir. Kita mengeluh kerana pada waktu tengahari hingga petang, panahan cahaya matahari bagaikan membakar kulit. Walaupun matahari letaknya kira-kira 62,500,000 kilometer dari Bumi, tapi haba yang terhasil daripada adunan 69.5% Hidrogen dan 28% Hilium itu terasa begitu menyiksakan.

Kita mengeluh. Kita tidak mahu dibakar matahari.

Tiba-tiba langit berubah menjadi gelap. Kita memandang ke langit. Kelihatan awan hitam berarak, hujan mula turun dan guruh serta kilat memancar silih berganti. Kita ketakutan kerana kilat yang memanahkan 100 juta hingga 1 billion voltan elektrik itu boleh membunuh kita, anak isteri dan saudara-mara kita. Kita mengeluh. Kita tidak mahu mati dipanah petir. Kita marah lagi kepada alam yang serba serbi indah ini…!!

Ingatlah…

“ Kadangkala Tuhan hilangkan sekejap matahari… kemudian Dia datangkan pula guruh serta kilat. Ketika itulah kita menangis dan mencari di mana matahari! Rupa-rupanya Tuhan mahu menghidangkan kita PELANGI…”

Bukan Itu Yang Saya Doakan

Pertandingan akhir kereta lumba mainan, akan bermula sebentar lagi. Orang ramai mengelilingi kawasan perlumbaan di padang itu untuk memberikan sokongan kepada lapan orang kanak-kanak yang akan mempamer kehebatan kereta mainan masing-masing. Semuanya buatan sendiri sebab memang begitulah peraturannya.

Salah seorang peserta pertandingan akhir itu bernama Ali. Keretanya paling tidak menarik. Ia hanya dibuat dengan kayu yang sederhana dan sedikit lampu kedip di atasnya. Bentuknya tidak sebanding langsung dengan kereta mainan para peserta lain yang dibuat menggunakan kayu berkualiti, cat dan warna yang menarik serta kemas buatannya. Namun, Ali bangga sebab kereta itu buatan tangannya sendiri. Saat yang dinantikan semakin hampir. Setiap kanak-kanak seudah bersiap di garis mula untuk mendorong kereta masing-masing melalui lorong yang berlingkar-lingkar itu.

Beberapa detik sebelum perlumbaan bermula, Ali dilihat berkumat-kamit. Matanya terpejam, tangan diangkat dan dia memanjatkan doa kepada Ilahi. Kemudian, dia berkata, “Saya sudah sedia!”

BBAANNGGG!!! Tembakan dilepaskan tanda pertandingan bermula. Dengan satu hentakan kuat, lapan kanak-kanak tadi mendorong kereta masing-masing selaju yang boleh. Semua kereta itu pun meluncur dengan deras. Orang ramai bersorak member sokongan.

“Cepat! Cepat! Laju lagi,laju!!” jerit kanak-kanak itu, termasuk Ali.

Garis penamat semain hampir dan… Ali diumumkan pemenangnya.

“Alhamdulillah, terima kasih ya Allah,” kata Ali sebaik keretanya melepasi garis penamat.

Saat penganugerahan piala tiba, Ali melangkah ke depan. Sebelum piala itu diserahkan kepadanya, ketua pengadil bertanya, :Hai juara, pasti tadi kamu berdoa kepada Allah agar kamu menang, kan?”

Ali terkejut. “Bukan, cikgu! Bukan itu yang saya doakan, “ jawab Ali. “ Tak adil kalau saya meminta pada Allah untuk menolong saya mengalahkan kawan-kawan yang lain. Saya sebenarnya memohon kepada Allah supaya saya tak menangis kalau saya kalah.”

Semua hadirin terdiam mendengar kata-kata kanak-kanak itu.